Wednesday, January 27, 2010
BLOG YANG SAYA INGIN PROMOSIKAN...
Saturday, January 23, 2010
ISTERIKU... (LUAHAN HATI SUAMIMU)
Aku tidaklah petah bercerita… namun ingin juga aku coretkan sesuatu di sini untuk menzahirkan rasa syukurku kepada-Mu ya Allah kerana telah mengurniakan seorang isteri yang sangat sempurna dari kaca mata aku… maafkan suamimu kerana kelu lidahku untuk menghamburkan pujian di hadapanmu… insyaAllah akan aku usaha untuk menjadi suamimu yang soleh agar sama-sama mengecap keredhaan Allah di dunia dan di akhirat… khabarkan pada ayah mertuaku Ustaz Md. Radzi dan ibu mertuaku Puan Saodah… dengan izin Allah… aku akan menjaga baik anak mereka dengan sedaya upayaku… juga mohonlah mereka… restuilah rumahtangga kita…
Berikut adalah beberapa perkara yang ingin ku luahkan padamu…
1) Aku bersyukur kerana diizinkan Allah untuk memperisterikanmu… dan Allah telah mempermudahkan segala urusan perkahwinan kita… walaupun aku bukan orang yang kaya-raya… tak mampu untuk menyaluti hidupmu dengan kekayaan… namun… mulutmu sentiasa dengan ucapan syukur dengan jodoh ini… engkau sentiasa bersyukur dengan keadaan diriku yang penuh kelemahan… engkau menerimaku dengan seadanya…
Nabi Muhammad s. a. w. bersabda (bermaksud): "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."
2) Engkau dan keluargamu telah banyak membantu dalam memudahkan urusan perkahwinan kita ini… terutamanya urusan peminangan dan mahar… ucapan jutaan terima kasih aku sekeluarga kepada kamu… semoga kamu mendapat keberkatan sebagaimana sabdaan Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya." (Riwayat Ahmad)
3) Aku berkahwin denganmu… ku akui atas cintaku padamu… namun yang paling utama… ku telah berusaha untuk disisipkan dalam hati bahawa perkahwinan ini adalah untuk mengikuti sunnah Rasulullah… seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Majah… daripada Aishah r.a. berkata, bersabda Nabi S.A.W. : "Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku, maka bukanlah dia daripada golongan umatku."
4) Masih ku simpan “sms”mu… yang menguatkan kembali semangatku tatkala dalam kesusahan dalam usaha untuk memperisterikanmu… tatkala aku rebah lemah tiada daya untuk bangun… pesanan yang akan kusematkan dalam jiwaku insyaAllah… katamu… Firman Allah, maksudnya: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah; 216)… dan katamu lagi… sabda Nabi S.A.W. : "Sesiapa yang meninggalkan berkahwin kerana takut miskin, maka bukanlah dia daripada golonganku." (Riwayat Abu Daud)
5) Sesungguhnya aku kini amat bahagia bersamamu… setelah aku memperisterikanmu… dengan pertimbangan yang sewajarnya ke atas sifat-sifat yang ada pada dirimu… menepati saranan Nabi kesayangan kita Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Dikahwini seseorang perempuan itu berdasarkan 4 perkara, kerana kekayaannya, kecantikannya, keturunannya, dan kerana agamanya, maka utamalah pemilihan perempuan yang beragama, pasti kamu akan mendapat keuntungan."
6) Setelah bersamamu… pada zahir mataku… ku lihat betapa kamu berusaha untuk menjadi isteri yang solehah… kamu begitu taat pada perintah Tuhanmu… begitu bersungguhnya kamu untuk menawan hati suamimu… engkau begitu taat dengan perintahku… ajakanku untuk bersolat sunat berjemaah engkau turuti dengan wajah yang gembira… panggilanku kau sahut dengan jawapan manja… pelbagai permintaanku kau tunaikan tanpa muncung di muka… aku sebagai suamimu amat redha… moga Allah izinkan kau masuk syurga dari pintu mana pun yang kau suka… Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (Riwayat Ahmad)
7) Sepanjang kita melayari bahtera… tidak pernah ku melihatmu tanpa senyum di muka… tak kira masa… waktu memasak, mengemas, membaca, mahupun sedang sakit derita… kuntuman senyummu tetap sampai ke telinga… hilang letihku memandang wajahmu yang ceria… kalau aku marah pun boleh hilang begitu saja… aku amat redha… syukur pada-Mu Yang Maha Esa… aku doakan kamu tergolong dalam golongan isteri... sebagaimana yang Rasulullah bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya, dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau redha". (Riwayat al-Nasai) dan ingin memperingati kamu dengan hadith ini… Nabi saw. bersabda, yang bermaksud: “Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya."
8) Aku amat suka akan reaksi senyuman dan lirikkan manjamu apabila aku membacakan hadith ini… Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Suami adalah penjaga
(pemimpin) terhadap kaum keluarga dan dia dipertanggungjawabkan terhadap
orang-orang di bawah jagaannya, dan isteri adalah penjaga (pemimpin) di dalam
rumah tangga suaminya dan anak-anaknya dan dipertanggungjawabkan
terhadap orang-orang yang di bawah tanggungannya.” (Riwayat Bukhari)
9) Aku juga suka tindakanmu apabila menasihatimu bahawa hukumnya haram bagi sesiapa yang memakai bulu mata palsu… yang kau pakai sewaktu majlis akad nikah kita… Rasulullah s.a.w. menegaskan: “Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan meminta rambutnya disambung.” (Riwayat Bukhari)… lantas kau buang dan tanpa membuang masa engkau bersolat sunat taubat 2 rakaat… lalu aku cuma mampu untuk mengucapkan Alhamdulillah… kerana… Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, dan Tirmizi pernah meriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seorang hamba melakukan perbuatan dosa, kemudian ia mengelokkan wuduk dan solat dua rakaat, kemudian meminta keampunan kepada Allah, melainkan Allah pasti akan mengampuni baginya”.
10) Nasihatku buat isteriku… jagalah dirimu dengan sebaik-baiknya… taatlah pada perintah Allah… ajaran Rasul… dan taatlah pada suamimu… pada zahir mataku engkau amatlah sempurna.. maka aku nasihati dirimu agar selaraskanlah zahir dan batin… tak kira di hadapan mahupun di belakangku… Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka." (Surah al-Nisa': 34)
Demikianlah luahan hatiku… walaupun masih banyak yang terbuku… namun… cukuplah setakat ini untuk waktu ini… sesungguhnya… perkahwinan itu memang indah… aku kini sedang merasainya dan berharap agar kemanisan ini berkekalan… mohon doa dari kalian…
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Surah ar-Ruum : 21)
Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taatlah kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, nescaya sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran. Sungguhpun begitu sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Riwayat al-Bazzar)
Friday, January 22, 2010
BERSIAP SEDIA UNTUK MENJADI AYAH
Berikut adalah kandungan e-mel tersebut...
------------------------------------------------------------------------------------------------
RAHSIA JADI AYAH YANG BERKESAN
15 Feb 2006
Endok Sempo Mohd Tahir
BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
* Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.
* Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.
* Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.
* Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak. Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
* Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
* Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
* Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.
(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)
TUJUH RAHSIA MENJADI AYAH YANG BERKESAN.
Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr. Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:
* Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenalpasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumahtangga, di samping ibu mereka.
Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah.
Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!
* Kenali anak anda.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan, malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing-masing.
Kenalpasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan, serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka.
* Istiqamah (tetap pendirian)
Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.
Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.
#tambahan dari aku: bapa kena istiqamah dalam melaksanakan tuntutan agama... termasuklah solat berjemaah di masjid atau surau... membaca al-Quran... solat SUNAT berjemaah bersama keluarga... dan lain-lain...
* Melindungi, menyara, dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.
* Mencintai ibu mereka.
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak.
Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat-menghormati, bekerjasama, dan berkasih sayang.
* Menjadi pendengar yang baik
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.
* Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian. (#aku: sepatutnya ini yang pertama)
Beri peluang anak anda mengenali Allah (#aku: ini yang paling utama... ilmu akidah) dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah (#aku: solat fardhu mesti berjemaah di masjid atau surau bagi lelaki kecuali ada keuzuran... solat sunat tidak menjadi masalah). Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Demikianlah artikel yang dikirimkan oleh sahabat saya itu... moga sedikit sebanyak dapat diambil manfaat daripadanya...
Di samping itu... atas permintaan murid-murid aku... juga beberapa sahabat aku... untuk aku meletakkan gambar perkahwinan aku untuk dikongsi bersama... walaupun kebanyakannya meminta aku untuk "upload"kan gambar ke friendster dan facebook... namun... disebabkan kesuntukan masa... maka aku letakkan beberapa gambar di blog ini terlebih dahulu... yang lain insyaAllah bakal menyusul... mohon doa dari semua untuk kebahagiaan kami... Wassalam...
p/s: Internet terlalu perlahan... maka... gambar ini sahaja yang dapat dikongsi... harap maaf...
p/s2: Klik pada gambar untuk besarkan imej...
Tuesday, January 12, 2010
KALIMAH ALLAH
BAB 1 - SERANG-MENYERANG TEMPAT IBADAT
DALIL :
Allah s.w.t. berfirman yg bermaksud, “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya; sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa. (Surah al-Baqarah : 251)
KOMEN AKU :
Amat jelas bahawa Allah melarang kita menceroboh tempat ibadat agama lain... apatah lagi melakukan kerosakan tanpa alasan konkrit... walaupun masih belum jelas siapa yang bertanggungjawab melakukannya (kerana mungkin juga kejadian ini merupakan propaganda serta provokasi pihak musuh Islam)... namun... sekiranya penyerangnya merupakan umat Islam sendiri... aku berasa sangat kecewa... kerana secara tak langsung mereka telah merosakkan imej suci Islam... dan mengabaikan larangan Allah... salah cara begitu... lebih kurang bak kata kawan baik aku... blogger Parkchick... dakwah ni umpama peperangan... terbaik adalah kita jangan kalahkan mereka tapi menangilah hati mereka...
BAB 2 - TAK SALAH ORANG BUKAN ISLAM SEBUT KALIMAH ALLAH
DALIL :
Firman Allah yang bermaksud, “Dan Demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (Jika demikian) Maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf : 87-88)
DALIL :
Firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut : 63)
KOMEN AKU :
Ada yang begitu sensitif sampai mengharamkan terus orang kafir menyebut nama Allah... mereka dengan lantang (moga-moga bukan sekadar tin kosong) menyatakan hanya muslim sahaja yang boleh guna KALIMAH ALLAH... bagi aku mereka ini keliru sebenarnya... sila rujuk dalil di atas... Allah menyuruh Nabi s.a.w. mengucapkan "Alhamdulillah" kerana golongan musyrik menyebut Allah... mengaku Allah yang menurunkan hujan dari langit... maka... kalimah Allah bukan hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja... takkan apabila mereka mengaku Allah turunkan hujan... tiba-tiba anda ingin marah dan melarang mereka membuat pengakuan tersebut... sila berfikir dengan tenang lagi waras dan tanpa sebarang emosi serta sentimen... tolong bersikap rasional...
BAB 3 - KENAPA MESTI TIDAK BERSETUJU DENGAN AKHBAR KATOLIK HERALD?
DALIL :
Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..." (Surah al-Maidah : 73)
DALIL :
Allah s.w.t. berfirman yg bermaksud, “Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa (Tunggal)”. “Allah ialah tempat untuk bergantung kepadaNya segala urusan”. “Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan”. “Dan tidak ada suatu pun yang setara dengan Dia”." (Surah al-Ikhlas : 1- 4)
KOMEN AKU :
Bagi yang terlalu emosi dan kuat sentimennya... dia pasti akan menghukum aku apabila membaca BAB 2 di atas... dengan menuduh aku menyokong penggunaan KALIMAH ALLAH bagi menggantikan nama Tuhan mereka... tapi mereka telah tersilap besar kerana menuduh serta bersangka buruk... sebenarnya... aku amat TIDAK BERSETUJU dan MENENTANG SEKERAS-KERASNYA Herald menggantikan nama Tuhan mereka dengan nama Allah... alasannya cukup jelas... sebab mereka MENYEKUTUKAN ALLAH... rujuklah dalil-dalil di atas... malah... aku juga mempunyai sedikit rasa tidak sedap hati kepada tujuan sebenar tuntutan mereka ini... berkemungkinan juga mereka ada agenda tersembunyi yang memerlukan kita berhati-hati... namun... selagi mereka menggunakan KALIMAH ALLAH dengan betul... maka aku tak akan sesekali membantah...
BAB 4 - KALIMAH ALLAH BUKAN SEKADAR UNTUK DIPERTAHANKAN
DALIL :
Allah s.w.t. berfirman yg bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman adalah mereka-mereka yang apabila disebutkan KALIMAH ALLAH gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah (kuat) iman mereka, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakal.” (Surah al-Anfal : 2)
KOMEN AKU :
Aku kagum dengan sensitiviti orang Islam di Malaysia ni... kerana begitu ramai yang bersungguh-sungguh dalam isu KALIMAH ALLAH ini... namun apa yang aku harapkan... JANGAN HANYA SEKADAR GAH MEMPERTAHANKAN NAMA ALLAH tetapi hakikatnya suruhan Allah diabaikan... larangan Allah disondolkan... kesukaan Allah diletak ke tepi... PERTAHANKANLAH KALIMAH ALLAH DENGAN SEBENAR-BENARNYA... bukan hanya pada nama...
BAB 5 - TEKNIK UNTUK BERDEPAN DENGAN SITUASI BEGINI
DALIL :
Allah s.w.t. berfirman yg bermaksud, “Wahai manusia bertaqwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak, dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim, sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah an-Nisaa’ : 1)
DALIL :
Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kalian mati kecuali dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran : 102)
DALIL :
Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian pada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah al-Ahzab : 70-71)
DALIL :
Firman Allah yang bermaksud, “...tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhannya.” (Surah Huud : 118-119)
DALIL :
Allah s.w.t. berfirman yg bermaksud, “Dan janganlah kalian saling berselisih yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu.” (Surah al-Anfaal : 46)
DALIL :
Allah s.w.t. berfirman yg bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai.” (Surah Ali Imran: 103)
DALIL :
Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya:
“Dan jadilah kalian hamba Allah yang saling bersaudara.” (Riwayat Bukhari)
KOMEN AKU :
Ikutlah saranan yang telah Allah berikan dalam al-Quran... maka rujuk dalil-dalil di atas... insyaAllah... kalau sentiasa usaha untuk perkukuhkan akidah kita... sentiasa menambahkan ilmu (terutamanya ilmu agama)... dan melaksanakan amalan dengan berkualiti lagi istiqamah (berterusan)... moga-moga Allah selamatkan kita dari fitnah ini... moga redha Allah sentiasa kita peroleh... Amin...
p/s : Aku sekadar menyatakan pendapat aku berdasarkan ilmu yang aku peroleh dari ustaz-ustaz yang memberi kuliah dan disisipkan dengan secebis ilmu yang Allah pinjamkan kepadaku... anda bebas untuk bersetuju apatah lagi untuk tidak bersetuju... hakikatnya inilah yang aku sedang yakini... maka harapan aku agar sekiranya ada perbezaan pendapat... berlapang dadalah...