Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: “Jika ada seseorang berkata: “Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka”. [H.R. Muslim]

Monday, August 31, 2009

KENAPA AKU... SOALAN-SOALAN ANDA YANG TELAH DIJAWAB OLEH ALLAH DALAM AL-QURAN



KENAPA AKU SERING DIUJI?

Firman Allah, maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui yang manakah orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut: 2-3)


KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

Firman Allah, maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, sesungguhnya Allah amat mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 216)


KENAPA AKU DIUJI UJIAN SEBERAT INI?

Firman Allah, maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah: 286)


BAGAIMANA KAN KUHADAPI UJIAN INI?

Firman Allah, maksudnya: “Wahai orang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebajikan), dan kuatkan kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan), dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali Imran: 200)

Firman Allah, maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah :45)


APA YANG AKU BOLEH DAPAT DARI SEMUA INI?

Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan (bayaran) syurga untuk mereka…” (Surah at-Taubah: 111)



Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
31 Ogos 2009 / 10 Ramadhan 1430H



Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka! Merdeka!
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka!
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka


Sekali lagi aku melalui tanggal 31 Ogos. Lebih bermakna, bulan kemerdekaan ini datang serentak bersama bulan suci Ramadhan. Maka, aku tetapkan dalam benak pemikiran aku bahawa aku mesti mempunyai keazaman dan memperbaharui matlamat aku. Maka, matlamat aku sempena merdeka tahun ini... insyaAllah...

(1) Merdekakan diri aku dari belenggu syaitan dan nafsu yang selama ini bermaharajalela dalam jiwa aku...

(2) Merdekakan diri aku dari sifat-sifat mazmumah yang selama ini yang menakluki akhlakku...

(3) Merdekakan cara pemikiran aku daripada penjajahan Yahudi dan Nasrani... tidak lupa gaya hidup Barat...

(4) Merdekakan diri aku dari pengaruh sifat munafik...

(5) Mempertahankan kesucian agamaku Islam daripada musuh yang senantiasa menyeleweng dan memutarbelit kebenaran sedaya upayaku...

(6) Mempertahankan negaraku Malaysia yang tercinta daripada dijajah semula oleh penjajah tidak kira dari segi fizikal, pemikiran, ekonomi, dan sebagainya sekadar yang mampu...

(7) Memberi sumbangan yang termampu dalam memartabatkan kedaulatan bangsa, agama, dan negara...

(8) Dan yang paling penting... aku teringin sangat membebaskan diri aku daripada cengkaman cinta kepada dunia agar aku dapat mengecami cinta Allah yang Maha Agung... agar aku benar-benar menjadi seorang hamba... bersifat seorang hamba... berakhlak seorang hamba... berpemikiran seorang hamba... gaya hidup seorang hamba... dan segala-galanya sebagai seorang hamba yang tulen... kerana bagi aku inilah erti kemerdekaan yang sejati...

Maka, aku mohon kepada Allah agar memberikan aku kekuatan dan kemudahan dalam usaha mencapai matlamat aku sempena kemerdekaan negara Malaysia kali ke 52... Amin...


Wahai sahabat-sahabat yang aku kasihi sekalian, adakah anda semua mempunyai matlamat sempena merdeka ini???


Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
31 Ogos 2009 / 10 Ramadhan 1430H

Saturday, August 29, 2009

Aku kasihan dan risau...



Perjalanan aku diteruskan...

Sekali lagi aku ditemukan dengan kemalangan ngeri...

Kemalangan di kawasan yang bernama HUKUM ARAK...

Ramai yang turun untuk mengeluarkan fatwa masing-masing... masing-masing dengan teori yang pelbagai... ada teori yang masuk akal... ada yang seolah-olah tak berakal... dengan ilmu dan tanpa ilmu...

Aku kasihan dan risau apabila melihat ada orang yang dengan mudahnya berkata... "dalam al-Quran Nabi berfatwa... keburukan arak dan judi lebih dari kebaikan... dalam bahasa mudah makruh laa tu..."

Aku kasihan dan risau apabila ada yang berkata "tiada hukum hudud dalam al-Quran sebab arak hanya makruh. Cuma ulamak, rabi dan arbaba sahaja yang lebih-lebih..."

Aku kasihan dan risau apabila ada tuduhan yang berbunyi "mereka ini seolah-olah,tuhan itu jahil dan al-Quran itu tidak lengkap. Kira lagi bijak dari Tuhan le ni..."

Aku kasihan kerana memikirkan nasib saudara seagama... aku risau apabila hukum diubah mengikut citarasa sendiri dan apabila ulama dicaci... aku juga risau sekiranya aku, keluarga aku, sahabatku, dan saudara seagama yang lain secara sengaja atau tidak sengaja mahupun tersengaja mengikut jejak langkah ini suatu hari kelak... nauzubillah... ya Allah selamatkanlah kami...

Aku sedar bahawa ini merupakan ujian Allah kepada aku... juga kepada para muslimin dan muslimat... ingin melihat bagaimana kita menghadapi situasi ini... maka aku berserah kepada-Mu ya Allah agar diselamatkan aku daripada tergolong dalam golongan sedemikian hingga ke akhir hayatku dan agar Engkau memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka yang berkenaan agar kembali kepada al-Quran-Mu serta sunnah Rasul-Mu...

Aku kasihan dan risau kerana SAYANG...

Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
29 Ogos 2009 / 8 Ramadhan 1430H

Friday, August 28, 2009

MAMA...



Dalam kisah perjalananku ini... sekali lagi aku telah dipertemukan dengan sesuatu yang memperingatkan aku kepada seorang yang amat aku kasihi... kerana kasih sayangnya tidak terperi yang telah dicurahkan kepada aku... tanggal 28 Ogos... maka genaplah usia emas... SELAMAT HARI LAHIR MAMA... moga Allah melanjutkan usia mama dengan barakah dan sentiasa berada dalam kasih sayang serta keredhaan Allah...

Mama...
Angah sayang akan Mama...
Selama 9 bulan mama kandungkan Angah...
Tanggal 20 Julai... Mama telah mengerah keringat... menahan sakit... semata-mata ingin melihat anakmu ini mengenal dunia...
Tidak pernah Mama keluh... tidak pernah Mama merungut... tidak pernah Angah dengar Mama ungkit semua ini...
Mama menjaga Angah sejak kecil... ditatang... diasuh... dijaga dengan penuh kasih sayang...
Mama langsung tidak peduli sakit atau penat lelah...
Bila Angah menangis... Mama tenangkan Angah...
Bila Angah merajuk... Mama pujuk dengan belai manja...
Bila Angah sakit... Mama jaga Angah dengan penuh rasa risau...
Bila Angah inginkan sesuatu... Mama sentiasa dapatkan...
Angah teringin makan itu... Mama masak... sebut saja... Mama pasti buat...
Bila ada makanan walau sedikit... Mama pasti simpan untuk Angah rasa...
Masih Angah ingat... Mama sanggup kata "Mama dah makan..." padahal sebaliknya... semata-mata untuk Angah isi perut... "Mama tak makan takpe... janji anak Mama dapat makan... tengok anak Mama seronok pun Mama dah kenyang..."
Mama biar saja anak Mama pakai baju raya baru... "...baju Mama? Kenapa Mama tak beli baju baru?"... "...biar anak Mama dapat baju baru... Mama takpe... dah tua..." ...
Satu hari Allah biar Angah dengar perbualan Mama dengan Ayah... "takpe la bang... tengok anak kita seronok pun dah cukup... tak payah la baju raya... tahun lepas punya elok lagi... lagipun duit bulan ni tak cukup... takpelah... kita berkorban untuk anak-anak... tapi jangan bagitau anak kita tak cukup duit..."
Sampai hati Mama... kalau Angah tahu... Angah tak nak baju baru... Angah tak nak raya... Angah cuma nak Mama gembira... itulah raya bagi Angah...

Mama...
Kini Mama dimamah usia... Mama makin uzur... kesihatan Mama pun tak menentu...
Tiba giliran Angah balas jasa Mama...
Izinkan Angah...
Bila Mama sedih... biar Angah tenangkan Mama...
Bila Mama merajuk... biar Angah pujuk dengan belai manja...
Bila Mama sakit... biar Angah jaga Mama dengan penuh rasa risau...
Bila Mama inginkan sesuatu... biar Angah dapatkan...
Mama teringin makan itu... Angah akan beli (sebab Angah tak pandai masak)... sebut saja... Angah pasti beli...
Bila ada makanan walau sedikit... insyaAllah Angah pasti simpan untuk Mama rasa...
Angah mohon pada Allah agar Angah dapat peluang untuk balas semua jasa Mama...

Memilikimu adalah satu anugerah dari Allah...

Akhir kata...
SELAMAT HARI LAHIR MAMA...

Ikhlas menyayangimu,

Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
28 Ogos 2009 / 7 Ramadhan 1430H

Khas untuk yang sudah berkahwin dan yang bakal berkahwin...



Dalam kisah perjalanan hidup kita... sekiranya diizinkan oleh Allah swt., kita akan meneruskan perjalanan kita dengan menaiki sebuah kenderaan yang diberi nama PERKAHWINAN. Disebabkan aku juga bakal memiliki kenderaan ini (InsyaAllah)... maka ingin aku coretkan sedikit khas untuk golongan yang bakal memandu dan yang sedang memandu kenderaan PERKAHWINAN ini... terutamanya untuk diriku ini... moga aku tidak lupa bahawa kenderaan ini merupakan amanah daripada Allah yang perlu aku jaga dengan sebaik-baiknya insyaAllah...

Ada kalanya seseorang memiliki pasangan hidup berparas menarik tetapi cakapnya pedas lagi menyinggung.

Ada pasangannya rupawan, bahasanya sedap didengar tetapi sangat boros.

Ada pula pasangannya indah dan jimat tetapi malas beribadah.

Kerencaman dalam mencari jodoh ini pernah diibaratkan dalam satu hadith sabdaan Nabi saw. yang bermaksud: 'Manusia itu seperti unta. Antara 100 ekor unta, sangat sulit kamu menemukan seekor yang sangat baik tunggangannya.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Pasangan ideal memang sukar diperolehi dalam zaman penuh dugaan.

Ada gadis yang mengeluh kerana sudah penat mencari calon suami yang berkelayakan, gagah dan lawa, tenang, dan lembut serta kuat beribadah.

Ada teruna mengeluh sukar mencari calon isteri yang cantik, senang dipandang, sabar, jimat, suka beribadah, dan pandai mengambil hati ibunya.

Nasihat Rasulullah saw berkenaan kekurangan yang ada pada pasangan kita: 'Hendaknya seorang Mukmin tidak meninggalkan seorang Mukminah. Kalau dia membenci suatu perangai pada diri isterinya, dia pasti menyenangi perangai yang lain.'

Pesan Rasulullah sejajar dengan firman Allah swt yang bermaksud: 'Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.' (Surah an-Nisaa; 19)

Sebagai pasangan (baik suami mahupun isteri), janganlah kita membiarkan begitu saja beberapa aib atau kekurangan pasangan kita. Alasan bahawa sikap sudah begitu sejak mula - tidak boleh dipakai sama sekali.

Sikap manusia boleh diubah selagi ia sanggup mengubahnya.

Suami hendaklah berdakwah kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.

Allah swt berfirman, mafhumnya: 'Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.' (Surah An-Nahl: 125).

Dakwah paling asas adalah dengan pasangan kita sebagaimana Rasulullah saw. menyampaikan kisah baginda menerima wahyu kepada isterinya, Khadijah. Diikuti dengan anak-anak dan orang-orang terdekat.

Oleh itu, suami/isteri perlu menggilap cara merubah sikap pasangan dengan cara paling elok menunjukkan contoh dan hujah. Kekasaran atau pukul bantai tidak boleh dibuat untuk memaksa seseorang berubah.

Selain ikhlas dalam menasihati, penting pula ikhlas dalam menerima nasihat. Ketika kita dinasihati, hendaknya kita kendalikan serta lunakkan hati kita untuk ikhlas menerimanya.

p/s : KEBAHAGIAAN TIDAK AKAN HADIR DENGAN SEKELIP MATA. IANYA HARUS DIPUPUK DENGAN PERASAAN KASIH SAYANG YANG TIDAK BERBELAH BAGI...

Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
28 Ogos 2009 / 7 Ramadhan 1430H

Thursday, August 27, 2009

Awek dan keretanya... tayar pancit...



Perjalanan aku diteruskan lagi... dan kali ini akan telah bertemu dengan sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan... lalu aku pun berhenti dan meninjau keadaan... oohhh... seorang perempuan... tayar kereta pancit rupanya... maka aku yang tidaklah begitu arif untuk menukar tayar... lalu aku pun cuba menolong sekadar yang mampu... maka... sebuah kisah pun bermula... (ini kiasan je...hehe..)


Date: 08/17/2009 01:57PM
>>>Subject: Fw: Memohon Ampon dan Maaf...............
>>>S alam ,
>>>
>>>Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
>>>
>>>* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
>>>* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
>>>* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
>>>
>>>Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita
>>>bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah
>>>Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat.
>>>Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, Insyaallah. 'Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak'.


RESPON AKU:

SEDIKIT PEMBETULAN... HADITH YANG SEBENARNYA ADALAH SEPERTI BERIKUT...

Daripada Hazrat Ka’ab bin ‘Ujrah r.a.beliau berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda, “Hadirlah ke mimbar!” Maka kami pun telah hadir. Apabila Baginda naik satu anak tangga mibar, Baginda berkata ‘Amin’ dan apabila Baginda naik tangga yang kedua Baginda berkata ‘Amin’ dan apabila naik anak tangga yang ketiga Baginda berkata ‘Amin’. Apabila Baginda turun, kami bertanya, “Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar daripada Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar.” Baginda bersabda, “Sesungguhnya Jibrail a.s. telah muncul kepadaku dan berkata, ‘BINASALAH SESEORANG YANG DIDATANGI BULAN RAMADHAN TETAPI BELUM JUGA DIAMPUNKAN.’ MAKA AKU BERKATA ‘AMIN’. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata ‘BINASALAH SESEORANG YANG APABILA NAMA ENGKAU DISEBUTKAN KEPADANYA, TIDAK PULA DIA MENSELAWATIMU.’ AKU JUGA BERKATA ‘AMIN’ dan apabila aku naik anak tangga ketiga dia berkata ‘BINASALAH SESEORANG YANG MENDAPATI KEDUA-DUA IBU BAPANYA ATAU SALAH SEORANG DARIPADANYA TELAH TUA TETAPI MEREKA TIDAK MENJADI SEBAB UNTUK DIA MASUK KE DALAM SYURGA. AKU BERKATA ‘AMIN’.

Keterangan: Dalam hadith ini Jibrail a.s. telah memohon tiga doa (kebinasaan) dan Rasulullah saw pula telah mengaminkan ketiga-tiga doa tersebut. Apa kurangnya dalam doa Jibrail a.s.? Dia ialah satu malaikat yang begitu hamper dengan Allah swt dan adalah jelas kepada kita amin daripada Rasulullah saw menjadikan doa itu bertambah makbul. Hanya Allah dengan limpahNya sahaja yang boleh memberi taufik kepada kita untuk menjauhi ketiga-tiga perkara tersebut dan supaya kita terpelihara daripada semua kebinasaan itu. Jika tidak, tiada sebarang kesangsian lagi terhadap kebinasaan kita sendiri.

Sumber:

Raisul Muhaddithin Allama Muhammad Zakariyya (Rah) Syaikhul Hadith Mazahir ‘Ulum. 2007. Kelebihan-kelebihan Bulan Ramadhan. Fadhilat Amal (Cetakan Kelapan). Penerbit Era Ilmu Sdn. Bhd. pp 22 - 23.

SEDIKIT INFO YANG PENTING

BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar.

Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik. Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir:

Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Sumber:
http://drmaza.com/home/?p=477


RESPON AKU:

Minta tolong "fwd" kembali kepada orang yang "fwd" kepada kita dan minta dia pun "fwd" kembali kat orang yg fwd kepada dia... semoga kita semua berada dalam keredhaan Allah...

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK DAN MARILAH KITA BERUSAHA AGAR KITA TIDAK TERGOLONG DALAM GOLONGAN CELAKA YANG DIDOAKAN OLEH MALAIKAT JIBRIL DAN DIAMINKAN OLEH RASULULLAH SAW INSYAALLAH...

Jazakallahukhairan...

Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
27 Ogos 2009 / 6 Ramadhan 1430H

Kartun Berkenaan Ramadhan...

Salam alaik...

Dalam perjalanan aku ini... ketika memandu... tiba-tiba aku terjumpa papan tanda arah... maka aku pun ingin kongsikan bersama dengan para pembaca berkenaan papan tanda arah tersebut... sila klik pada gambar...





Ahmad Syahril bin Abdul Rahim

KISAH SEBUAH PERJALANAN
27 Ogos 2009 / 6 Ramadhan 1430H

Wednesday, August 26, 2009

sebelum aku terlupa...


Nyaris-nyaris aku terlupa... aku sebenarnya ingin kongsi satu panduan... maka sebelum aku melabuhkan tirai malam ini... aku ingin kongsi cadangan seorang ustaz dalam satu kuliah maghrib dalam bulan Syaaban lepas (tarikhnya aku terlupa)... nama pun lupa tapi gelaran sheikh... berkenaan solat witir selepas solat sunat tarawikh...

Ustaz ni bagitau... dia selalu imamkan jemaah masjid... bila selesai tarawikh 20 rakaat... disusuli solat witir. Beliau menambah solat witir ini Rasulullah galakkan untuk dilakukan sebagai penutup (dijadikan sebagai solat yang terakhir)... persoalannya... "kalau aku jadi imam... mesti kena buat witir 3 rakaat... esok pagi nak bangun pulak buat qiamullail... so mcm mana nak jadikan witir sbg penutup?". Memang bukan menjadi satu kesalahan untuk menyelesaikan witir selepas tarawikh... tapi adalah lebih baik jika dijadikan witir sebagai penutup... sekiranya yakin anda mempunyai kemampuan untuk bangun keesokannya...

Diringkaskan cerita... ustaz memberitahu... dia akan melaksanakan dua rakaat pertama witir seperti biasa... dan BELIAU AKAN MENIATKAN RAKAAT YANG TERAKHIR (SATU RAKAAT WITIR) SEBAGAI QADHA... sebab kata beliau... masa muda beliau dulu solat witir banyak kali ditinggalkannya... maka beliau menyimpan satu rakaat terakhir... masih aku ingat ayat beliau... "satu rakaat yang last tu yang paling power...". Maka, beliau pun akan berqiamullail keesokannya dengan disudahi dengan solat witir satu rakaat...

Sekian... perkongsian untuk malam ini... semoga dapat memberi manfaat kepada kita semua...

Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
26 Ogos 2009 / 5 Ramadhan 1430H

MRSM PDRM Kulim


Salam alaik...

Tulisan kali ini... ingin aku kongsi kisah perjalanan aku dengan menaiki sebuah kenderaan agak baru...kenderaan yang diberi nama GURU...

Kini, aku sudah sebulan lebih menjadi seorang pendidik di sebuah institusi pendidikan yang amat terkenal di Malaysia... Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Memang perjalanan kali ini agak sukar bagiku... sebabnya langsung tidak pernah terlintas di benak fikiran ini... untuk bergelar cikgu... minat memang ada... tapi disebabkan aku ada cita-cita lain... maka aku pun pilih untuk tidak memilih profesion ini... namun takdir Allah telah tertulis bahawa aku akan menjadi guru dan... nah... jadi pun kau guru...

Sejak jadi cikgu ni... aku dapat banyak pengalaman walaupun dalam masa yang singkat... banyak pengajaran yang aku pelajari... maka ingin aku coret sedikit moga dapat dikongsi bersama... antaranya...

(1) Kita ini manusia yang hanya punya asa... Allah punya kuasa... betapa aku merancang masa depan aku... ingin jadi itu... ingin jadi ini... tak mahu jadi itu... tak mahu jadi ini... tengoklah sekarang... antara yang paling aku elak... tup tup... Allah bagi aku jadi... maka pengajarannya...

KITA HANYA MAMPU MERANCANG TETAPI ALLAH MAHA MENENTUKAN...

(2) Dulu masa aku jadi pelajar... aku selalu abaikan kata-kata cikgu (cikgu...maafkan aku)... tidur dalam kelas... tak tumpu perhatian masa cikgu mengajar... macam-macam lagi perangai buruk... cikgu nasihat aku pekakkan telinga... sekarang Allah tunjuk pada aku... betapa sakitnya hati seorang guru bila pelajar buat endah tak endah je... bila pelajar tidur bila kita mengajar (walaupun yang tidur cuma seorang dua je dan bukan selalu)... perasaan kita masa mengajar... huh... maka pengajarannya...

SETIAP APA YANG KITA BUAT ALLAH AKAN BALAS BALIK...DI DUNIA PUN ALLAH DAH BALAS...KALAU BAIK MAKA BAIKLAH BALASNYA...BEGITULAH SEBALIKNYA...

(3) Bukan senang hendah pandu kenderaan yang bernama guru ni... sebab sebagai manusia... aku punya emosi... aku juga ada hari muram dan ada hari ceria... maka cabarannya... bagaimana untuk kawal semua ini... sebab kalau dibiarkan... maka akan terganggu kualiti pengajaran... kalau mengajar pun sambil lewa.. apa maknanya... tambah pula... guru ini ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar... bukan saja ilmu dunia tapi juga ilmu akhirat... bukan saja sains dan matematik tapi juga ilmu akhlak dan sahsiah diri... kalau guru buat "bodo" saja... maka mana tanggungjawab dan amanah seorang guru? bagaimanakah nasib para pelajar sekiranya guru bersikap lepas tangan? apakah nasib anak bangsa kita? maka pengajarannya...

GURU MERUPAKAN SATU BIDANG BUKAN SEKADAR KERJAYA... BUKAN SEKADAR PILIHAN TERAKHIR BILA TIADA KERJA (kena batang hidung sendiri)... TAPI SATU PROFESION YANG PENUH DENGAN TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH... DAN HASILNYA BESAR KEMUNGKINAN UNTUK BERKEKALAN...

Sebenarnya banyak lagi yang aku nak "share"... tapi cukuplah setakat ini dulu... masa tak mengizinkan... masa ber"blog" sudah tamat... waktu untuk tolong mak aku pula... sekian...

Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
26 Ogos 2009 / 5 Ramadhan 1430H

Kisah Sebuah Perjalanan


Assalamualaikum w.b.t...

Hari ini tanggal 26 Ogos 2009 bersamaan 5 Ramadhan 1430H, aku telah dibukakan pintu hati oleh Yang Maha Esa untuk menempuh satu lagi kisah dalam sebuah perjalanan hidupku... kali ini dengan kenderaan baru walaupun arah perjalanan masih kekal... kenderaan yang memaksa aku terkial-kial dan bertatih... kenderaan diberi nama penulisan... kenderaan berjenama blog...

Hidup kita ini memang merupakan suatu perjalanan... dalam perjalanan untuk bertemu dengan Allah Yang Maha Esa... Tuhan yang menjadikan kita... atas tujuan yang satu... untuk kenal akan Dia... kenal sifat-sifat-Nya... kenal suruhan dan larangan-Nya... kenal Agama-Nya... maka bila kita hampir tiba di "pintu masuk" untuk bertemu dengan-Nya... soalan pertama yang dikemuka oleh "penjaga pintu"...

"...Siapakah Tuhanmu...?"

Maka, rasanya adakah kita mampu menjawab soalan ini? Betulkah kita benar-benar kenal dengan Allah? Sedangkan kita masih lagi melanggar larangan Allah? Sedangkan kita masih lagi leka meninggalkan kesukaan Allah? Kalau begitu keadaannya... bagaimana pula cinta kita pada Allah? Mulut kata cinta... tapi hati (secara tak sedar atau tak) berkata dusta... maka mampukah kita menjawab soalan ini?

Bagi kebanyakan kita... inilah kehidupan aku... my life... my car... my house... my blog... my oh my... aku dengan Tuhan aku kau dengan Tuhan kau... kubur kita masing-masing... dosa pahala aku bukan kau tentukan... syurga neraka bukan ketentuan kau... macam-macam lagi kalimat-kalimat yang takbur keluar dari mulut ini... terlupakah kita siapa kita? Dunia ini siapa punya? Jawapannya KITA HAMBA ALLAH PENCIPTA DAN SEGALA-GALANYA ALLAH PUNYA...

Persoalan di sini... layakkah kita sebagai hamba... yang sedang menggunakan kaki, tangan, badan, udara, dan segala-galanya hak milik Allah... tiba-tiba dengan sewenang-wenangnya berkata... "ini aku punya..."?

Maka, aku ingin berpesan kepada diri saya terutamanya dan para pembaca sekalian agar sama-sama kita tetapkan di minda dan hati masing-masing... dalam setiap perkara yang kira lalui... ingatlah kembali tujuan asal kita di dunia ini... HANYA SEMATA-MATA UNTUK MENGENAL TUHAN YANG ESA... kita dalam perjalanan... dengan kenderaan masing-masing... tapi kalau kita cuai dan lalai dalam perjalanan... kita mungkin akan ditimpa kemalangan... jikalau Allah izinkan maka kita cedera ringan... lebih teruk sikit... cedera parah... tapi tak mengapa sekiranya kita masih bernyawa... sebab kita masih boleh teruskan perjalanan kemudian... janganlah sampai kecuaian kita sampai kita menutup mata dalam perjalanan... lebih malang... kita melibatkan orang lain dalam kecelakaan... Nauzubillah... moga kita dijauhkan...

Maka, setakat ini sahaja mukadimah... semoga kehadiran aku dalam dunia blog ini mendapat keredhaan Allah dan sekaligus membawa manfaat untuk dunia penulisan. Sekiranya ada kesalahan dan kesilapan... mohon jasa baik para pembaca agar membuat teguran... aku sedia menerima kritikan... aku mengharapkan teguran yang ikhlas... teguran yang membina... teguran yang menyedarkan... teguran yang bertanggungjawab... teguran yang berilmiah... semoga Allah meredhai perjalanan kita menuju bertemu dengan-Nya...

Sekian, salam dari saya... Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak...

p/s: Entri agak "skema"... niat ingin memartabatkan bahasa kebangsaan sekadar yang mampu...

Ahmad Syahril bin Abdul Rahim
KISAH SEBUAH PERJALANAN
26 Ogos 2009 / 5 Ramadhan 1430H